Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang bermula
tahun ini adalah transformasi dilakukan Kementerian Pelajaran bagi memastikan
sistem pelajaran negara setanding piawaian global. KSSR menggantikan
Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) yang dilaksanakan sejak 1993
mempunyai beberapa penambahbaikan dengan menjadikan kurikulum negara maju
sebagai rujukan. Antara pembaharuan dilaksanakan adalah menerapkan elemen
kreativiti dan inovasi, keusahawanan, teknologi maklumat dan komunikasi dalam
pengajaran dan pembelajaran (P&P). Fokus 3M iaitu membaca, menulis dan
mengira yang dilaksanakan sejak KBSR ditambah dengan satu lagi aspek iaitu
menaakul menjadikannya 4M.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Maluri,
Saadun Kasim, berkata KSSR masih mengekalkan prinsip KBSR dengan mempunyai
penambahbaikan iaitu menggunakan pendekatan bersepadu, perkembangan individu
secara menyeluruh, pendidikan sama rata untuk semua murid serta pendidikan
seumur hidup. Beliau yang juga Yang Di Pertua Majlis Guru Besar Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur, berkata kurikulum itu turut bersandarkan enam tunjang
iaitu komunikasi, perkembangan fizikal dan estetika, kemanusiaan, keterampilan
diri, sains dan teknologi serta kerohanian, sikap dan nilai. Pembaharuan
lain diperkenalkan KSSR adalah Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK)
dengan matlamat mengurangkan tekanan peperiksaan awam, memperkukuh Pentaksiran
Berasaskan Sekolah (PBS), memperbaiki pembelajaran murid, pentaksiran holistik
dan berterusan serta membina modal insan dengan lebih berkesan.
Ada lima kaedah pentaksiran dilaksanakan melalui SPPK
iaitu pentaksiran aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum, pentaksiran sekolah,
pentaksiran psikometrik, peperiksaan pusat serta pentaksiran pusat. Di bawah
pentaksiran sekolah, setiap sekolah bertanggungjawab melaksanakan sistem
pentaksiran sendiri yang dirancang dan diperiksa guru membabitkan murid, ibu
bapa dan organisasi luar yang dipecahkan kepada dua iaitu pentaksiran formatif
dan pentaksiran sumatif. Pentaksiran formatif membabitkan proses
sepanjang pembelajaran murid menggunakan pelbagai kaedah dalam melapor maklumat
selain membuat penilaian sama ada bertulis atau verbal mengenai cara
meningkatkan pembelajaran murid. Guru tidak dibenar membandingkan murid
serta meletakkan skala yang menunjukkan kedudukan mereka seperti digunakan
sebelum ini.
Pentaksiran sumatif dilakukan pada hujung pembelajaran
dengan membuat pertimbangan dan penilaian prestasi murid dalam meneruskan
pembelajaran. Maklumat itu dalam bentuk kualitatif atau kuantitatif mengikut
standard ditetapkan sekolah. Pembaharuan lain ialah segala perkembangan murid
dapat dipantau apabila hasil kerja mereka termasuk ujian dan peperiksaan
disimpan dalam portfolio. Dokumen itu merekodkan kegiatan dan pencapaian murid
sepanjang sesi persekolahannya untuk rujukan guru dan ibu bapa. Portfolio
adalah kaedah pengumpulan hasil kerja murid yang sistematik dan menjadi bukti
perkembangan murid sepanjang tempoh pembelajarannya. Dokumen ini dibahagikan
kepada dua iaitu portfolio perkembangan dan pameran. Portfolio
perkembangan menunjukkan perkembangan pembelajaran murid dari semasa ke semasa,
membantu guru memantau perkembangan dan membuat pentaksiran serta membolehkan
murid melakukan penilaian kendiri dalam menetap matlamat yang hendak dicapai.
Dokumen itu turut membolehkan semua pihak termasuk ibu
bapa menilai perkembangan pembelajaran anak dengan tepat, mengesan kekuatan
atau kelemahan murid secara berterusan serta mengenal pasti bakat dan minat
murid. Portfolio pameran mempamerkan tahap penguasaan dan pencapaian
murid pada akhir tempoh pembelajaran mereka selain sebagai bahan bukti untuk
rujukan dan penilaian akan datang, memberi maklumat aptitud murid kepada guru
yang akan mengajarnya pada tahun berikutnya serta dijadikan penilaian untuk
pemberian penghargaan. Guru Penyelaras PBS SK Taman Bukit Maluri, Cheong
Oi Lai, berkata pendekatan baru ini membolehkan guru menilai murid dengan lebih
berkesan dan teratur. Katanya, portfolio memudahkan guru menyemak rekod pembelajaran
murid serta mengetahui kelemahan mereka dan cara mengatasinya. “Pengukuran
tahap pembelajaran murid kini dapat dilakukan menerusi standard prestasi yang
berupaya menentukan tahap penguasaan mereka mengikut band bermula dari satu
hingga enam.
“Setiap band memiliki penilaian bermula band satu
bermaksud murid tahu, band dua (tahu dan faham), band tiga (tahu, faham dan
boleh buat), band empat (tahu, faham dan boleh buat dengan beradab), band lima
(tahu, faham dan boleh buat dengan beradab terpuji) serta band enam (murid
tahu, faham dan boleh buat dengan beradab mithali,” katanya. Beliau berkata,
band satu peringkat paling asas dan menjadi kayu ukur sama ada murid berjaya
menguasai sukatan pembelajaran atau tidak sebelum beralih ke band berikutnya.
Ia memberi ruang kepada guru untuk mengetahui dengan lebih mendalam
kebolehan murid mengikuti pembelajaran dalam kelas dan mencari jalan
penyelesaian untuk mengatasi kelemahan mereka.
Guru Besar SK Bukit Damansara, Zarina Jamil, berkata
walaupun ujian bertulis masih dijalankan seperti dulu, proses penilaian KSSR
mengambil kira kemahiran insaniah dan kebolehan yang ditonjolkan murid dalam
kelas. “Guru perlu memahami etika perguruan, jujur dalam tugas dan tidak boleh
melebihkan murid tertentu demi kepentingan peribadi,” katanya mengulas mengenai
kaedah penilaian murid. Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK
Bukit Damansara, Datuk Mohd Nadzli Othman, berkata, oleh sebab sebahagian
proses penilaian dilakukan oleh sekolah, murid akan berusaha untuk bersaing dengan
rakan lain untuk menunjukkan prestasi yang terbaik di samping meningkatkan
pencapaian mereka. Katanya, mereka akan bersaing dengan murid lain untuk
menunjukkan prestasi yang terbaik di samping meningkatkan pencapaian mereka.
Kesimpulannya, pengenalan KSSR menggantikan KBSR bermula
tahun ini membabitkan murid Tahun Satu adalah inisiatif memperkasa modal insan
negara.
SUMBER
BERITA
HARIAN
31
JANUARI 2011